Tuesday, July 22, 2008

100 ribu bakal kunjungi Karnival Halal Kelantan

Salmah Mat Husain

Seramai 100,000 orang pengunjung dijangka akan mengunjungi Karnival Halal Kelantan 2008 kali Ke-4 yang akan berlangsung selama seminggu bermula 23 hingga 29 Julai ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata program yang akan disertai hampir 10 program baru akan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-1V.

Menurutnya, program berkenaan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, manakala majlis perasmian penutupnya pula akan dilakukan oleh timbalannya, Dato' Ahmad Yaacob.

Tambahnya, sebanyak 95 buah gerai yang bakal disertai jabatan kerajaan negeri, individu akan memasarkan produk halal masing-masing sama ada ianya berupa makanan atau minuman, termasuk gerai pameran akan memeriahkan program yang menjadi acara tahunan itu.

"Banyak program baru yang kita tonjolkan pada tahun ini antaranya seminar, wacana, pertunjukan ayam serama, klinik solat dan lain-lain lagi,"ujarnya.

Menurut Abdul Aziz lagi, karnival halal yang diadakan mempunyai nilainya yang tersendiri memandangkan tahun ini merupakan Tahun Melawat Kelantan.

"Dengan adanya karnival ini memberi peluang kepada pelancong luar mengunjunginya bersesuaian tahun ini merupakan Tahun Melawat Kelantan,"ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, beliau berkeyakinan dengan pelbagai program menarik diatur untuk memeriahkan majlis ini seperti pameran, jualan produk halal, kempen kesedaran menutup aurat, persembahan wayang kulit versi baru dan lain-lain lagi akan menarik lebih ramai pengunjung tahun ini.

"Kalau tahun lepas dianggarkan seramai 80,000 orang pengunjung mengunjungi carnival kita, tahun ini insya-Allah dijangkakan seramai 100,000 orang akan mengunjunginya,"ujarnya lagi.

Aziz seterusnya memberitahu, antara tujuan utama program Karnival Halal yang bertemakan 'Cakna Halal Membawa Berkat' itu untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang perkembangan industri halal sama ada di peringkat lokal mahupun global.

Disamping itu, program ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang halal dan haram dalam konteks agama di samping memberi kefahaman tentang kepentingan pensijilan halal kepada peniaga dan pengguna.

Sempena program yang dijangka berlangsung esok itu akan disertai dengan pameran keselamatan dan kebersihan makanan, pertandingan sukaneka kanak-kanak, pertunjukan kertuk, pertandingan menulis seni kaligrafi Islam, pertunjukan gasing terbang, forum perdana, pertandingan pidato.

Turut diketengahkan pertunjukan seni mempertahankan diri, pertunjukan kereta dan kapal terbang kawalan jauh dan persembahan nasyid oleh Akhir Hayy, Rabbani, Mestika, dan Soutul Muhtasib.

Dikir barat bersama Zaidi Buluh Perindu dan Jen Endoro juga turut diadakan.

Sehubungan itu,Abdul Aziz menyeru seluruh rakyat Kelantan termasuk masyarakat luar mengunjungi karnival tersebut sebagai sokongan untuk melahirkan Kelantan sebagai pengeluaran hub halal negara suatu hari nanti.


HarakahDaily.Net

No comments: